head

Wednesday, July 8, 2015

Cara Rasulullah SAW Berwudhu'

Ramai sedia maklum tentang wudhu’ serta tujuan mengambil wudhu’. Dari segi bahasa, wudhu’ ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu. Dari segi syara‘ pula, wudhu’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, kemudian membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.
Hukum Mengambil Wudhu’
Wudhu’ atau mengambil air sembahyang boleh dibahagikan kepada 2 hukum iaitu :
1.  Wajib/ Fardhu.
Iaitu ketika hendak menunaikan ibadah seperti solat, sama ada solat fardhu atau solat sunat, ketika hendak melakukan tawaf Ka‘bah sama ada tawaf fardhu atau sunat, ketika hendak menyentuh Al-Qur’an dan sebagainya.
  2.   Sunat
Banyak perkara yang disunatkan berwudhu’, antaranya ialah ketika ingin membaca atau mendengar bacaan Al-Qur’an, membaca atau mendengar bacaan hadith, membawa kitab tafsir, kitab hadith atau kitab fiqh, melakukan azan, duduk di dalam masjid, melakukan tawaf di ‘Arafah, melakukan sa‘i, menziarahi makam Rasulullah, ketika hendak tidur, mengusung jenazah, malah disunatkan sentiasa berada dalam keadaan berwudhu’ dan memperbaharui wudhu’.
Syarat Sah Wudhu’
1. Meratakan air yang suci ke atas kulit, iaitu perbuatan meratakan air pada seluruh anggota yang dibasuh hingga tiada bahagian yang tertinggal.
2. Menghilangkan apa sahaja yang menghalang sampainya air ke anggota wudhu’.
3. Tidak terdapat perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu’ seperti darah haidh, nifas, air kencing dan seumpamanya.
4. Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berterusan dalam keadaan hadath seperti orang yang menghidap kencing tidak lawas.
Selain itu, terdapat beberapa syarat wudhu’ mengikut ulama’ mazhab Syafi‘i, iaitu:
1. Islam.
2. Mumayyiz.
3. Suci daripada haidh dan nifas.
4. Bersih daripada apa sahaja yang boleh menghalang sampainya air ke kulit.
5. Mengetahui kefardhuan wudhu’.
6. Tidak menganggap sesuatu yang fardhu di dalam wudhu’ sebagai sunat.
7. Menghilangkan najis ‘aini yang terdapat pada badan dan pakaian orang yang berwudhu’.
8. Tidak terdapat pada anggota wudhu’ bahan yang mengubahkan air.
9. Tidak mengaitkan (ta‘liq) niat berwudhu’ dengan sesuatu.
10. Mengalirkan air ke atas anggota wudhu’.
11. Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berhadath berterusan.
12. Muwalatiaitu berturutan.
Cara Rasulullah Berwudhu’.

Ketika ingin berwudhu’, pertamanya adalah sunat sekiranya mengambil wudhu’ menghadap kiblat sebagai tanda mencontohi Rasulullah SAW dan membaca basmalah, kerana Rasullulah SAW bersabda :

“Tidak diterima wudhu' seseorang jika tidak membaca basmalah.”

Kemudian kita perlu bersiwak. Sunat kita basuh dahulu siwak sebelum dan selepas menggunakannya. Mulakan dari kanan, lidah dan lelangit. Kemudian basuh kedua telapak tangan.  Sunat kita membasuh celahan jari, apabila kita basuh tangan dipermulaan wudhu’.

Kemudian berkumur sebanyak 3 kali cedokan. Setiap cedokan air dikumur dan dibuang dengan tangan kiri. Disunatkan agar kumurkan air sekuatnya sehingga mulut dan gigi dapat dibersihkan dengan air. 

Kemudian membasuh muka. Diingatkan! Perbezaan diantara sapu dan basuh. Sapu ialah menyapukan air tanpa membersihkan, tetapi basuh, kita alirkan air diseluruh bahagian muka tnapa ada bahagian yang tertinggal. Bermula dari atas sehingga ke bawah. Perkara makruh yang dilakukan orang ialah menampar mukanya ketika membasuh muka. Adalah makruh kita menampar dengan kuat.

Juga diingatkan tentang rambut di antara muka dan telinga iaitu jambang kerana ia termasuk dalam bahagian muka. Ramai yang menyangka ia bukan sebahagian dari muka. Bahagian muka ialah bermula dari telinga kanan hingga ke telinga kiri, dari ubun kepala hingga ke bahagian bawah dagu. Inilah bahagian muka yang wajib dibasuh.

Sunat bagi kita memperbanyakkan membasuh muka. Seperti yang disebutkan hadith "Itholatul Ghurrah" yang diceritakan oleh Rasulullah SAW, wajah umatnya pada hari kiamat teserlah akibat sinaran cahaya daripada kesan wudhu’. Semoga kita termasuk dalam kalangan mereka.

Kemudian membasuh kedua tangan bersama celahan jari. Orang beriman ketika membasuh anggotanya perlu ingat hadith Rasulullah SAW,

"Sesungguhnya sesiapa yang berwudhu’ dengan sempurna, dosanya akan keluar dari tubuhnya sehingga keluar di hujung jari jemarinya."

Kesempurnaan berwudhu’ ialah dengan mencontohi Rasulullah SAW. Jika kita berwudhu’ seperti Rasulullah SAW, dosa akan hilang. Jika seseorang merasai dosa dan maksiatnya keluar, sebenarnya dia dirinya bersama dengan Allah SWT.

Sunat kita membasuh celahan jari. Jika seseorang itu memakai cincin, dia perlu pastikan air mengena pada bahagian tersebut atau cincin itu dicabut dan pastikan air mengena pada bahagian tersebut. 

Kemudian kita membasuh kepala. Sunat kita menyapu kepala, jika memakai serban, cukup sekadar sapu bahagian depan kepala. Sebaiknya kita menyapu seluruh kepala kita, iaitu ibu jari diletakkan di kanan dan kiri ( diantara dahi dan muka) kemudian semua jari dipertemukan disapu hingga ke belakang dan kembali ke depan. Inilah dikatakan sapuan sempurna. Ke belakang dan kembali ke depan sama ada dengan sekali sapuan @ 3 kali sapuan mengikut beberapa riwayat hadith Nabi SAW.

Kemudian membasuh dua telinga. Masukkan jari telunjuk ke dalam cupin telinga. Gerakkan jari itu dalam cupin telinga dan ibu jari menyapu bahagian belakang cupin telinga. Kemudian masukkan jari kelingking ke dalam rongga telinga. Dengan ini, telinga dibasuh dengan baik.

Antara sunat ketika berwudhu’ ialah gosok atau urut. Ad-dalk ialah gerakkan tangan ke seluruh anggota. Bukan hanya mengalirkan air, tetapi gerakkan tangannya ke seluruh anggota wudhu’. Itulah sunnah Nabi SAW. Dan sebahagian ulamak mewajibkannya. 

Kemudian membasuh dua kaki. Jari kaki perlu dibasuh lebih dari tangan kerana celahan jari kaki agak sempit. Pastikan tumit dibasuh dengan baik. Sabda Rasulullah SAW:

"Celaka, neraka bagi Al-A'aqab, iaitu mereka yang tidak membasuh tumit".

Kita perlu lebihkan pada tumit yang merekah atau kering. Seperti juga kita lebihkan membasuh tangan sehingga bahagian tengah lengan. Kita juga perlu basuh sehingga ke bahagian tengah betis.

Dengan itu kita telah lakukan sunat "tahjil" iaitu anggota yang akan dipakaikan perhiasan apabila mukmin masuk ke syurga. Allah akan pakaikan perhiasan pada anggota wudhu’. Oleh itu para sahabat melakukan sunat 'tahjil" dan ada melakukan lebih dari itu. Setelah berwudhu’, pastikan masih menghadap kearah kiblat dan menadah tangan seperti Nabi SAW menadah tangan sehingga nampak ketiaknya yang putih dan berdoa seperti sabdanya Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang berdoa dengan doa ini akan Allah bukakan 8 pintu syurga untuknya”.



“Aku bersaksi, tiada tuhan melainkan Allah dan tidak ada sekutu baginya dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusanNya. Ya Tuhanku, jadikan aku daripada kalangan mereka yang bertaubat. Golongkan aku dalam kalangan mereka yang bersuci dan hamba-hambaMu yang soleh. Jadikan aku dalam keadaan sentiasa berzikir kepadaMu, pagi dan petang. Maha suci Allah segala puji kepadaMu, aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Kau. Aku memohon keampunan dan bertaubat kepadaMu”.

Ulama' menyatakan sesiapa yang mati dalam keadaan berwudhu’, dia diberi pilihan untuk masuk ke syurga yang dia inginkn. Di sini seseorang mukmin patut merebut peluang. Sesungguhnya pintu-pintu syurga dan penerimaan terbuka luas. Maka berdoalah kepada Allah SWT dengan apa yang kita inginkan. Kita pohon agar kita diajarkan sunnah Nabi SAW. Agar saya dan sidang pembaca dapat mempraktikkan sunnah Rasulullah SAW. Agar Allah memberi taufik dan perkenan segala amalan sunat kita dan menghayati adab dan amalan Rasulullah SAW.


Katakanlah, jika kamu mencintai Allah, ikutilah Aku, nescaya Allah mencintai kamu. (surah al-imran:31)



No comments:

Post a Comment